I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, April 20, 2010

Latar Belakang SK Bukit Senggeh

Sekolah Kebangsaan Bukit Senggeh telah ditubuhkan oleh kerajaan pada tahun 1883. Pengasasnya ialah Penghulu Kulup bin Benci.
Pada awal penubuhannya, sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan kayu 18 meter panjang dan 14 meter lebar. Bertiang batu besar yang berjumlah 24 batang dengan ketinggian satu pertiga meter. Bangunan beratap nipah ini menggunakan papan hitam sebagai pemisah diantara dua bilik darjah.
Semasa dibuka, cuma seorang sahaja guru yang diketahui mengajar di sini iaitu Cikgu Mohd. Din bin Araf dengan menggunakan kelas bercantum bagi 20 orang muridnya. Mengikut Buku Pendaftaran Murid sekolah ini, sehingga 04.06.1907, selepas 25 tahun ditubuhkan, seramai 267 orang murid telah bersekolah di sini.
Pada awal penubuhannya, tiada kemudahan asas disediakan. Murid-murid datang ke sekolah dengan berjalan kaki. Tidak ada pengangkutan khas atau jalan raya kecuali kereta lembu. Walau bagaimanapun sekolah ini terletak di tepi laluan yang menghubungkan Pekan Selandar dan Pekan Nyalas.

Nama sekolah ini telah berubah beberapa kali mengikut keadaan semasa dari Sekolah Melayu kepada Sekolah Umum dan seterusnya kepada Sekolah Kebangsaan Bukit Senggeh seperti sekarang.
Dalam tahun 1963, sekolah ini telah mendapat bangunan tambahan yang pertama dari peruntukan kerajaan terdiri dari satu blok bangunan separuh kekal 6 bilik darjah dan sebuah kantin. Bangunan ini telah dirasmikan oleh YB Hassan bin Mansor, mewakili YAB Encik Abd. Ghafar bin Baba, Ketua Menteri Melaka ketika itu.
Pada tahun 1978, sebuah lagi bangunan tambahan telah dibina. Bangunan batu dua tingkat ini mengandungi 4 bilik darjah, pejabat, bilik guru, tandas dan setor, untuk menampung pertambahan murid yang datang dari Sekolah Kebangsaan Jus. Bangunan ini digunakan pada 01.08.1979 dengan kemudahan elektrik dan air paip dari perigi pam. Pada 07.02.1982, kemudahan air paip dari Lembaga Air diperolehi.
Lembaga Pengurusan Sekolah ditubuhkan pada 01.01.1958 dengan Pengerusi pertamanya Tuan Haji Ahmad bin Haji Joned. Manakala Persatuan Ibubapa dan Guru ditubuhkan pada 05.11.1966 dengan Encik Minhat bin Nayan sebagai pengerusinya yang pertama.

No comments:

Post a Comment